KOTA KINABALU: Selari dengan isu kekurangan guru di Sabah, Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) supaya mempertimbangkan pengambilan guru dalam kalangan graduan anak tempatan. 

Jelas Presiden KGKS, Mohd Kifflee Alli, langkah itu bukan sahaja akan menyelesaikan isu kekurangan guru, malah secara tidak langsung akan mengurangkan kadar pengangguran di negeri tersebut.

"Kami mencadangkan agar KPM iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia segera melaksanakan tindakan serampang dua mata dengan mewujudkan permohonan khas jawatan guru kepada graduan anak jati negeri Sabah sebagai langkah mengatasi kekurangan guru sekaligus mengurangkan kadar pengangguran di negeri sabah ini,".

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KGKS, Kota Kinabalu pada Rabu.

Dalam pada itu, Kifflee turut menambah cadangan itu dibuat bukan sahaja untuk mengatasi masalah kekurangan guru dan kadar pengangguran tetapi juga merupakan usaha bagi mengelak lebih ramai tenaga kerja dari Sabah berhijrah ke luar negeri.

"Selain itu, bagi mengelakkan lebih banyak tenaga kerja yang berbakat ini keluar daripada negeri ini berhijrah ke tempat lain untuk mencari rezeki itu satu kerugian.

"Kami di KGKS memintalah dibuka peluang seluas-luasnya kepada graduan anak jati sabah untuk mengisi kekosongan jawatan guru di negeri ini," beliau menambah.

Untuk rekod, seramai 111 orang graduan tempatan di Sabah dilaporkan ingin mengisi kekosongan jawatan guru sekiranya diberi peluang manakala 74 lagi calon yang memohon kontrak perkhidmatan pada tahun 2021 tidak mendapat panggilan temuduga berdasarkan laporan kajian KGKS pada tahun ini.

Selain isu kekurangan guru, Sabah turut mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 8.2 peratus di kalangan belia dan siswazah termasuk graduan sektor pendidikan.